DALIL MENGAPA HARUS BERMAZHAB

Posted: November 20, 2012 in BID'AH, MADZHAB & KHILAFIYAH, NGAJI ONLINE, STOP MENUDUH BID'AH !!


Artikel ini adalah sebagai hujah untuk menguatkan pendapat dibolehkannya kita bermazhab dalam Fiqh dan juga sebagai jawaban bagi orang2 yang merasa tidak perlu atau menolak mazhab. Berikut setidaknya 12 dalil kita dibolehkan bermazhab atau mengikut salah satu daripada empat mazhab yang muktabar iaitu Mazhab Syafi’i, Maliki, Hanafi dan Hambali.  Antaranya:

DALIL PERTAMA:

Memang sudah ada isyarat daripada Hadis Rasulullah:
Sebaik-baik manusia ialah yang berada di kurun aku, kemudian mereka yang selepas kurun itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW menyebut bahawa umat Islam sekitar tiga kurun itu secara majoritinya adalah baik-baik, soleh-soleh bahkan sebahagian daripadanya bertaraf muqarrobin. Mereka inilah yang dikatakan salafussoleh (orang soleh zaman dahulu). Manakala umat Islam selepas 300 tahun itu hinggalah ke zaman kita ini dikatakan khalputtoleh (orang-orang jahat yang kemudian). Ertinya umat Islam selepas 300 tahun itu secara majoritinya jahat-jahat; yang baik-baik terlalu sedikit.Manakala keempat-empat Imam Mazhab tersebut hidup pada sekitar tiga kurun selepas Rasulullah SAW. Imam Hanafi dan Imam Malik hidup pada kurun yang pertama lagi; masing-masing lahir pada tahun 80 dan 93 Hijrah. Sementara Imam Syafi’i (lahir 150 Hijrah) dan Imam Hambali (lahir 164 Hijrah) berada pada akhir kurun kedua sehingga kurun yang ketiga. Sedangkan menurut Hadis tadi, secara umum umat Islam sekitar tiga kurun itulah yang patut menjadi ikutan kita. Sunnah mereka, tradisi mereka, kebudayaan mereka dan lainlain menjadi ikutan kita. Betapalah pula Imam-Imam Mazhab yang telah disebutkan tadi. Mereka bukan sahaja ulama pilihan di kalangan para ulama di zaman itu, tetapi mereka juga merupakan ulama yang soleh, warak, kuat beribadah, tegas memegang hukum, bebas (tidak makan gaji atau terikat dengan tugas rasmi). Bahkan mereka menjadi ikutan para ulama dan orang-orang awam dari zaman tersebut hingga ke hari ini. Maka lebih-lebih patut dan lojik mereka itu menjadi ikutan kita.DALIL KEDUA:

Jangan pula menganggap bahawa bila seseorang mengikut salah satu daripada empat mazhab tadi, maka dia tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Kerana keempat-empat Imam Mazhab tersebut telah pun mengikut Al Quran dan Hadis. Mereka mengistinbatkan hukum atau mengeluarkan hukum daripada Al Quran dan Hadis. Ini memberi erti mereka mengikut Al Quran dan Hadis. Oleh itu kita tidak boleh menganggap imam-imam tersebut tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Jangan pula kita anggap mereka mengeluarkan hukum hanya berdasarkan fikiran mereka semata-mata.

Buktinya, Imam Malik di samping merujuk pada Al Quran, beliau juga mempunyai sebuah kitab Hadis yang bernama Al Muwaththa’. Kitab ini merupakan kitab Hadis yang pertama, lebih dahulu daripada Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab Hadis yang lain. Ia mengandungi lebih 10,000 buah Hadis. Oleh yang demikian bila Imam Malik mengeluarkan hukum ataupun fatwa, di samping merujuk kepada AI Quran , dia juga merujuk Hadis-Hadis dalam kitab Al Muwaththa’nya itu. Mana boleh dikatakan Imam Malik tidak mengikut Hadis. Ini satu tuduhan yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada seorang ulama besar. Bahkan mengikut riwayat, Imam Syafi’i pernah membuat pengakuan yang beliau telah pun menghafal kitab tersebut sebelum berguru dengan Imam Malik. Apabila bertemu, Imam Malik terkejut, lantas menyuruh Imam Syafi’i membaca dari awal hingga ke akhir tanpa melihat kitabnya.

Imam Hanafi juga ada mempunyai kitab Hadis yang bernama Al Wasif. Bila Imam Hanafi diminta mengeluarkan hukum atau memberi fatwa, beliau berfatwa berdasarkan Al Quran dan Hadis yang ada dalam kitab Al Wasif. Imam Syafi’i pula terkenal dengan kitab Al Umm, yang ditulis oleh murid kanannya yang bernama Ar Rabi’. Oleh itu Imam Syafi’I mengistinbatkan hukum, selain daripada Al Quran, juga daripada Hadis yang terdapat dalam Al Umm. Begitu juga dengan Imam Hambali (Ahmad bin Hambal). Beliau mempunyai kitab Hadis yang terkenal dengan Al Musnad. Tak kurang daripada 35,000 Hadis terkandung di dalamnya.

Di sini nyatalah keempat-empat Imam Mazhab ini, apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Kalau ada orang-orang di belakang termasuk kita, mengikut salah satu daripada Imam-Imam Mazhab itu, ertinya mengikut orang yang telah mengikut Al Quran dan Hadis. Tidak boleh dikatakan mengikut mana-mana mazhab ini tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Cuma orang-orang yang bertaqlid macam kita ini tidak tahu ayat Quran mana yang dipakai oleh mereka atau Hadis mana digunakan oleh mereka. Kerana kita ini adalah muqallidi atau pengikut. Tetapi mereka tahu nas yang mana mereka gunakan sama ada dari Al Quran atau Sunnah Rasulullah SAW.

DALIL KETIGA:

ALLAH telah mengisyaratkan kepada kita melalui Al Quranul Karim, kalau kita tidak tahu kerana kita bukan orang alim, kena bertanya kepada orang yang tahu atau yang alim. Ertinya pandangan-pandangan orang alim itu eloklah menjadi pegangan dan ikutan kita. Kerana mereka lebih tahu daripada kita. Firman ALLAH:

Bertanyalah kepada ahli ilmu (alim ulama; orang yang tahu) kalau kamu tidak mengetahui. (An Nahl: 43)

Imam-imam yang empat tadi patut menjadi ikutan kita. Dan patut pula kita tanyakan fatwa-fatwa mereka. Kalau mereka sudah tiada lagi, ada kitab-kitab yang ditinggalkan oleh mereka. Bahkan kitab-kitab mereka itu telah pun dihurai dan dijelaskan lagi oleh ulama-ulama di belakang mereka. Kalau kita ikut mana-mana mazhab yang empat itu, bererti kita tidak terkeluar daripada apa yang dianjurkan oleh ALLAH dan Rasul.

DALIL KEEMPAT:

Banyak orang tidak sedar pembuku-pembuku Hadis atau perawi-perawi Hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tarmizi dan lain-lain lagi, walaupun mereka mengumpulkan dan menilai Hadis tetapi dari segi kefahaman atau dalam mengeluarkan hukum, mereka juga bersandar dengan Imam-Imam Mazhab. Walaupun Hadis ada di hadapan mereka tetapi mereka tetap mengikut dan berpegang dengan kefahaman yang ada pada Imam Mazhab terutamanya Imam Syafi’i. Umpamanya Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tarmizi adalah bermazhab Syafi’i.

Kalaulah Imam-Imam Hadis itu pun mengikut Imam Syafi’i, siapakah kita ini sekiranya tidak mahu mengikut imam mana-mana mazhab seperti Mazhab Syafi’i? Jangan pula asalkan bertemu Hadis kita sangka sudah ikut Hadis. Untuk mengeluarkan hukum, mampukah kita? Sedangkan Imam- Imam Hadis itu pun menyandarkan kefahaman mereka kepada Imam-Imam Mazhab. Padahal kebanyakan mereka itu hidup pada sekitar 300 tahun daripada Rasulullah SAW serta menjadi ikutan sebahagian ulama dan orang awam di waktu itu.

DALIL KELIMA:

Kalaulah imam-imam seperti Imam Bukhari, Imam Muslim yang terkenal kewarakannya, Hadis-Hadis mereka menjadi sandaran orang-orang kemudian, juga mengikut mazhab, maka tidak hairanlah ulama-ulama besar selepas 300 tahun mengikut salah satu daripada mazhab-mazhab yang empat itu tadi. Abu Hassan Al Asyaari – mujaddid kurun ketiga, penyusun kaedah kitab usuluddin, bermazhab Syafi’i; Imam Al Ghazali, ulama besar dan mujaddid kurun kelima yang terkenal dengan kitab Ihya Ulumiddin, juga bermazhab Syafi’i; Imam Sayuti – mujaddid kurun kesembilan, Syeikh Ibnu Hajar, Syeikh Ramli, Imam Subki, Syeikh Zakaria Ansori, Imam Nawawi, Imam Sya’rani juga bermazhab Syafi’i. Walaupun mereka ini semuanya bertaraf mujtahidin, mempunyai kitab-kitab yang besar dan layak berijtihad, namun mereka juga bermazhab.

DALIL KEENAM:

Ada keterangan dari Hadis Rasulullah SAW:

Sesungguhnya ALLAH Azza Wajalla tidak akan mencabut ilmu dari seseorang manusia selepas diberikan kepadanya. Akan tetapi dicabut (ilmu itu dengan dimatikan para ulama. Setiap kali matinya ulama ikutlah ilmu itu bersamanya sehinggalah (satu ketika tiada lagi ulama) kecuali pemimpin (ulama) yang jahil. Jika ditanya hukum, mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu, mereka sesat lalu menyesatkan orang lain. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi:

Tidaklah datang satu tahun atau hari kepada kamu melainkan hari yang selepasnya itu lebih buruk dari sebelumnya sehingalah kamu semua bertemu ALLAH. (Riwayat Al Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah)

Yang dimaksudkan di sini ialah ilmu agama, bukan ilmu dunia. Kurangnya ilmu itu oleh kerana para ulama ramai yang dimatikan. Kalau ada pun para mama, mereka sudah tidak berminat lagi untuk memperdalamkan ilmunya. Para ulama rasmi sudah seronok makan gaji dan ulama swasta pula sibuk dengan hidup. Selepas dapat degri, mereka tidak mengkaji dan membaca lagi lebih-lebih lagi bila makan gaji. Akhirnya tinggallah orang-orang jahil dibandingkan mereka tadi yang dianggap ulama oleh masyarakat. Mungkin juga mereka dianggap ulama kerana sudah tidak ada lagi ulama di masa itu. Bila tidak ada, maka belalang pun dianggap helang.

Ada juga isyarat Hadis yang lain bahawa di akhir zaman nanti akan berlaku ilmu Islam semakin habis walaupun ilmu dunia semakin berkembang. Begitu juga akan berlaku, mubaligh- mubaligh ramai, ulamanya sedikit. Lebih-lebih lagi sukar hendak mencari guru yang mursyid.

Oleh itu orang yang dipanggil ulama pada akhir zaman ini tentulah tidak sama kualitinya, ilmunya, waraknya dan lain-lain lagi, dibandingkan dengan ulama-ulama di zaman dahulu. Lebih-lebih lagi terlalu jauh bandingannya dengan ulama-ulama di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW. Kalau kita mengikut ulama sekarang yang katanya mengikut Al Quran dan Hadis sahaja, tanpa bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin, ertinya kita mengikut orang yang kurang ilmunya. Oleh kerana kurang ilmunya tentulah dia tidak mampu mengorek isi-isi yang tersirat dari Al Quran dan Hadis. Maka sewajiblah dia juga mengikut Imam-Imam Mazhab yang empat tadi.

DALIL KETUJUH:

Memang menjadi Sunnatullah sejak Nabi Adam a.s. sehingga ke akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim, walaupun sebenarnya ramai yang ingin jadi alim. Bahkan bukan sahaja dalam soal ilmu tetapi juga dalam soal-soal yang lain, seperti kekayaan, walaupun fitrah manusia ingin kaya tetapi bukan semuanya menjadi orang kaya. Yang kaya itu sedikit tetapi yang miskin itulah yang banyak.

mazhab-syafeial-umm

Begitu juga dalam soal ilmu pengetahuan. Walaupun fitrah manusia ingin menjadi orang alim, tetapi yang alim itu sedikit. Yang jahil itu yang ramai. Dalam keadaan ini, apakah patut dipaksa semua orang awam mengkaji dan menggali sendiri Al Quran dan Hadis? Minta mereka berijtihad sendiri tanpa bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin. Ini tidak munasabah. Samalah seperti kita memaksa semua orang yang hendak memiliki emas supaya jangan membeli emas di kedai-kedai emas. Kita ajak mereka korek bumi atau melombong emas untuk ambil yang benar-benar emas pure dari dalam bumi itu. Ini tidak mungkin.

Sebab? Kalaulah ia seorang kontraktor besar, yang ada kapal dan bulldozer yang besar-besar dan ada modal berjutajuta, bolehlah kalau dia hendak mengambil emas dengan mengorek bumi. Tetapi bagi kontraktor yang kecil apalagi pada mereka yang hanya menjadi pelanggan sahaja, hendak dipaksa mereka supaya ambil emas dari perut bumi dengan gunakan cangkul, sudah tentu mereka tidak akan dapat emas. Lebih baik beli dari pelombong emas atau di kedai emas saja. Ini lagi bagus.

Begitulah kalau kita hendak paksa semua orang berijtihad daripada Al Quran dan Hadis, jangan bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin. Sampai bila pun mereka tidak akan dapat beramal dengan ajaran Islam. Tidak mungkin orang awam seperti kita hendak diajak berijtihad sedangkan ulama yang ada sekarang pun tidak boleh berijtihad.

DALIL KEDELAPAN:

Rasulullah SAW ada bersabda:

Berselisih faham di kalangan umatku itu adalah rahmat. (Riwayat Al Baihaqi)

Hadis ini membuktikan bermazhab itu dibenarkan. Ertinya timbulnya mazhab itu oleh kerana adanya ulama-ulama yang mampu berijtihad. Maka terjadilah berlainan pendapat. Berselisih faham di sini adalah berselisih faham tentang furu’iyah (soal-soal feqah) bukan usuliyah (soal aqidah atau dasar). Berselisih faham dalam soal hukum-hukum furu’iyah hingga menimbulkan bermacam-macam aliran mazhab feqah adalah mendatangkan rahmat. Orang awam macam kita ini boleh mengikut sesiapa saja yang kita sukai, di mana kita rasa sesuai. Maknanya, ada alternatif untuk orang awam.

DALIL KESEMBILAN:

Kalaulah kita hendak menyuruh semua manusia ini sama ada yang alimnya mahupun yang awamnya supaya tidak bermazhab iaitu setiap orang diminta berijtihad mengeluarkan hukum-hukum daripada Al Quran dan Hadis, jangan bersandar dengan mana-mana imam, maka pasti ramai yang sesat.

Kalau kita umpamakan Al Quran dan Hadis itu ibarat laut yang dalam, yang di dalamnya ada bermacam-macam khazanah, seperti ikan, intan, mutiara, emas, perak, minyak, jenis kerang, batu karang dan lain-lain lagi yang kita tidak tahu, lalu kita arahkan semua orang supaya jadi penyelam, insya-ALLAH ramai yang tenggelam. Kerana yang pandai menyelam itu bukannya ramai. Itu pun yang boleh menyelam mungkin dia tidak menyelam hingga sampai ke dasar laut disebabkan lautnya terlalu dalam. Oleh itu bukan semua khazanah yang dapat diambil. Kalaulah kita tidak pandai berenang dan menyelam, bukankah lebih baik kita membeli saja daripada orang yang pandai berenang dan menyelam mengambil khazanah laut daripada memaksa diri berenang dan menyelam hingga tenggelam di lautan. Khazanah laut tidak dapat diambil, kita pula tenggelam di dalam lautan.

Begitulah juga sekiranya diminta semua orang yang alim mahupun yang jahilnya mengistinbat hukum daripada Al Quran dan Hadis, tanpa bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin, banyaklah orang yang sesat. Oleh itu lebih selamat kita mengikut mana-mana mazhab yang muktabar itu.

DALIL KESEPULUH:

Kita lihat orang-orang yang mengajak untuk tidak bermazhab ini adalah ulama-ulama mutaakhirin.Bermula daripada Ibnu Taimiyah yang hidup lebih kurang 700 tahun yang lalu. Dia bukan ulama yang berada sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW. Kemudian fahamannya disambung oleh muridnya yang bemama Ibnu Qayyim, Al Jauzi hinggalah mama-ulama di kurun kedua puluh ini seperti Muhamad Abduh, Jamaluddin Al Afghani, Rashid Redha, Hamka dan lain-lain lagi. Mereka ini hidup di luar daripada lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW. Jadi tidak ada isyarat daripada Rasulullah bahawa mereka ini patut menjadi ikutan.

Sedangkan ulama-ulama mazhab yang disebutkan tadi, hidup dalam lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah. Ertinya mereka dari kalangan salafussoleh. Ulama yang mengajak “jangan bermazhab” ini ialah ulama Mutaakhirin. Fahaman mereka menjadi bertambah popular terutamanya bila Arab Badwi (keluarga Saud) menguasai Makkah dan Madinah. Ketika itu munculnya gerakan Muhammad Abdul Wahab yang dikatakan bermazhab wahabi itu. Dan gerakannya belum sampai 100 tahun lagi. Dia menganjurkan jangan ikut mazhab kerana bid’ah katanya. Oleh itu ulama mana yang hendak diikuti? Ulama mutaakhirin atau ulama mutaqaddimin? Kalau mengikut Hadis, kita kena ikut ulama mutaqaddimin.

DALIL KESEBELAS:

Ulama-ulama mazhab terutamanya Imam Mazhab yang empat, bukan sahaja ilmunya hebat, tetapi peribadinya juga begitu hebat; begitu warak, begitu taqwa kepada ALLAH. Ulama mensyaratkan, orang yang boleh diterima ijtihadnya bukan dinilai ilmunya sahaja, tetapi mestilah juga dipastikan yang dia seorang yang soleh, warak, dan bertaqwa. Atau dalam kata-kata yang lain, mesti memiliki sifat adil. Kalau padanya tidak ada keadilan, dia bolehlah berpegang dengan fatwanya sendiri, tetapi orang lain tidak boleh dipaksakan kerana waraknya tiada. Kenapa? Orang yang tidak warak ini ditakuti memberi fatwa mengikut nafsu atau ada kepentingan diri. Fatwanya nanti tidak akan adil lagi. Sepertimana kebanyakan yang terjadi pada mama-ulama akhir zaman ini.

Bila orang bertanya, “Apa hukumnya menutup aurat, tuan?” Jawabnya: “Yalah, menutup aurat itu wajib, memang
kita akui, tapi… Tapi maklumlah zaman sekarang ini dah umum orang tak tutup aurat. Kalau kita pakai, ganjil pula. Nanti tersingkir pula dari masyarakat. Nanti orang pulaukan kita. Ini berat jadinya. Nanti kita tidak tahan. Yalah wajib tu wajiblah… tapi…”

Lihat, dia gunakan istilah ‘tapi’. Itu boleh tahan lagi. Ada yang lebih parah sampai berkata, “Alah, ini budaya Arab sahaja.”

Mengapa ini berlaku? Kerana waraknya tidak ada. Takut pada ALLAH tidak bertapak di hati. Jadi munasabahlah orang yang tidak bertaqwa ini, walau alim sekalipun, tidak boleh kita terima fatwanya. Ditakuti ia memberi fatwa ikut nafsu bukan kerana ALLAH lagi.

Manakala imam-imam mazhab, masya-Allah, sangat warak. Contohnya

Imam Hanafi.

Suatu ketika jirannya meminjam duit daripadanya. Semenjak itu dia tidak lalu lagi di halaman rumah orang tersebut. Sebaliknya mengikut laluan jalan lain. Maka ada orang yang bertanya, “Tuan, mengapa tuan tidak lalu lagi ikut halaman jiran tuan?” “Saya takut riba,” jawab Imam Hanafi.

Begitulah waraknya Imam Hanafi. Dia menganggap lalu di halaman rumah orang yang berhutang padanya itu sebagai mengambil faedah, atau riba. Semakin tua umurnya semakin kuat ibadahnya. Ketika tua sehingga wafatnya, Imam Hanafi tidak pernah tidur semalaman. Kadang-kadang wudhuk Maghribnya itu juga untuk wudhuk sembahyang Subuh esoknya.

Imam Malik

Adalah di antara ulama yang banyak menerima hadiah emas, berlian, intan, permaidani yang cantik-cantik dan lain-lain lagi. Pernah suatu ketika beliau dihadiahkan seekor kuda sambrani iaitu kuda yang tangkas dari Iran, yang digunakan untuk berperang. Namun tidak pernah sekalipun dia menunggangnya. Ada orang bertanya: “Wahai tuan, mengapa tuan tidak pernah menunggang kuda yang bagus ini?”

Imam Malik menjawab, “Saya malu hendak menunggang kuda kerana di perut bumi ini ada jasad Rasulullah SAW.”

Begitu beradabnya Imam Malik dengan Rasulullah. Perkara yang tidak salah dianggap satu kesalahan baginya.

Pernah suatu ketika sultan di waktu itu mengajak beliau mengajar di istana. Imam Malik menjawab, “Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi. Kalau tuan hendak belajar, mari sama-sama duduk di masjid bersama rakyat.”

Kalaulah ulama di zaman sekarang dipanggil mengajar di istana tentulah bangga kerana jadi ulama istana. Gah rasanya. Walaupun Imam Malik seorang yang kaya-raya, kerana banyaknya hadiah yang diterima tetapi dia tetap macam biasa. Ambil mana yang perlu sahaja. Yang lebihnya, beliau hadiahkan pula kepada orang lain yang memerlukannya.

Imam Syafi’i

Memang terkenal seorang yang zuhud. Ia mempunyai ramai guru dan di antara yang terkenal ialah Imam Malik. Imam Malik membekalkan kepadanya dua perkara iaitu ilmu dan harta. Harta yang dibekalkan oleh Imam Malik kepada Imam Syafi’i sebanyak 4,000 dinar. Belum sempat lagi naik ke rumah, Imam Syafi’i memanggil orang-orang kampung dan membahagi-bahagikan kepada mereka semua harta yang dibawanya itu sehingga habis kecuali dua dinar sahaja yang ditinggalkan untuk ibunya. Sedangkan untuk dirinya tiada. Lihat betapa zuhudnya Imam Syafi’i.

Hal ini pun kalau orang hendak ikut Imam Mazhab tidak akan terikut, apalagi hendak ikut Al Quran dan Hadis tanpa bersandar pada Imam Mazhab. Ikut Al Quran dan Hadis ertinya ikut Rasulullah. Imam Syafi’i ada juga tinggalkan dua dinar tetapi Rasulullah berderma macam angin kencang. Baginda tidak akan tidur malam selagi masih ada simpanan harta seperti duit, makanan dan sebagainya. Kalau ada juga, baginda akan mencari orang yang memerlukan untuk diberi harta itu pada malam itu juga. Baginda tidak mahu simpan sampai ke pagi.

Mereka yang kononnya hendak ikut Al Quran dan Hadis sahaja itu, cara hidup Imam Mazhab pun tidak terikut. Oleh itu tidak hairanlah, semakin banyak sebut Al Quran dan Hadis, semakin lalai orang itu. Kata hendak ikut Al Quran dan Hadis tetapi berani dedah aurat, berani buat fitnah, berani makan riba, berani guna ilmu untuk makan gaji dan berani buat bermacam-macam maksiat lagi.

Imam Syafi’i membahagikan malamnya kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk diri, keluarga dan anak-anak, sepertiga untuk membaca, mentelaah dan menulis. Manakala sepertiga lagi untuk ibadah. Imam Syafi’i adalah di antara imam-imam yang banyak ditimpa penyakit. Penyakitnya yang berat ialah buasir. Walaupun begitu beliau tidak pernah meninggalkan pengajiannya. Beliau tetap mengajar dan berdakwah. Sewaktu memberi kuliah, beliau akan duduk di atas besen. Selesai saja kuliah, beliau pun bangun, maka penuhlah besen tersebut dengan darah buasirnya itu.

Imam Hambali

BeliU lebih sedih riwayat hidupnya. Pernah beliau berhadapan dengan tiga pemerintah yang memenjarakannya
tidak kurang daripada dua puluh tahun. Bukan sahaja dipenjarakan bahkan beliau dipukul, disepak, dicaci dan
sebagainya. Adakalanya beliau jatuh pengsan. Ulama-ulama lain yang turut diseksa terpaksa surrender kerana tidak tahan dengan ujian tersebut. Tetapi Imam Hambali tetap dengan keyakinannya sampai ke hujung.

Jadi orang yang warak inilah yang kita yakin keadilannya dalam memberi fatwa. Mereka memberi fatwa dengan penuh takut kepada ALLAH. Sebaliknya kalau ulama sudah tidak takut kepada ALLAH, insya-Allah dia akan berfatwa mengikut nafsunya.

DALIL KEDUA BELAS:

Walaupun ada orang yang menganjurkan tidak perlu ikut mazhab, cukup hanya ikut Al Quran dan Hadis sahaja, tetapi pada hakikatnya semua orang bermazhab, sama ada dia mengaku atau tidak. Kerana golongan yang tidak mahu bermazhab itu bukan semuanya ulama. Maka mereka terpaksa bersandar dengan mana-mana ulama yang juga menolak mazhab. Maka ulama tempat mereka bersandar itulah sebenarnya imam mazhab mereka.

Katakanlah kita bertanya kepada orang itu, “Tuan tahu bahasa Arab?” Katalah katanya, “Tidak tahu.”

“Habis, bagaimana tuan memahami Al Quran dan Hadis?”
“Ya, kerana saya berpegang kepada ulama yang menganjurkan ikut Al Quran dan Hadis.”
“Siapa ulama itu?” Katakanlah dia menjawab ulama tersebut ialah Muhammad, maka Muhammad itulah mazhabnya.
Kalau Ali, maka Ali-lah mazhabnya.
Saya pernah bertanya kepada seorang yang menolak mazhab,
“Ustaz tahu bahasa Arab?”
“Tak tahu.”
“Habis, ustaz suruh ikut Al Quran dan Hadis sahaja, kalau tidak tahu bahasa Arab bagaimana mengistinbatkan hukum dari Quran dan Hadis?”
“Saya baca tafsir Muhammad Yunus.”
Maka saya berkata, “Oh! hakikatnya ustaz bermazhablah. Muhammad Yunus itu mazhab ustaz. Jadi kalau ustaz bermazhab juga, lebih baik ikut Imam Syafi’i. Seluruh dunia menerima Imam Syafi’i, bukan saja orang awam, ulama-ulama pun ikut.” Dia pun terdiam.

Hakikatnya semua manusia mempunyai mazhab sama ada sedar atau tidak. Maka sekiranya semua manusia ini bermazhab, lebih baik dan lebih selamat ikut mazhab yang muktabar, yang diakui bukan sahaja oleh orang awam bahkan juga oleh ulama-ulama besar seperti Imam Al Ghazali, Imam Sayuti dan ramai lagi.

Dalam kitab Tanwir al-Qulub fi Mu’amalat ‘Allam al-Ghuyub, asy-Syeikh Muhammad Amin al-kurdi asy-Syafi’Imenuliskan pada halaman 41:
“Dan barangsiapa yang tidak bertaqlid kepada salah seorang dari mereka (salah satu imam yang 4) dan berkata: “Aku beramal dengan al-Kitab dan as-Sunnah, mengaku-ngaku paham hukum dari al-Kitab dan as-Sunnah, maka tidak bisa diterimalah ucapannya, bahkan mereka itu salah, sesat menyesatkan, apalagi di zaman sekarang ini, zaman yang sudah merata di dalamnya kefasikan dan banyak pendakwa (da’i) yang bathil (karbitan), karena mereka menampakkan dirinya sederajat dengan Aimmat ad-Din (Imam 4 Madzhab) padahal dia derajatnya jauh di bawah mereka, baik dari segi ilmu, amal dan keadilan, maupun informasi ilmu pengetahuan.”

Source: aboutmiracle.wordpress.com

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s