PEMBELAAN TERHADAP KITAB IHYA’ ULUMIDDIN IMAM GHAZALI

Posted: Mei 21, 2014 in STOP MENUDUH BID'AH !!, TAFSIR & QOUL ULAMA, TASAWUF
ihya-ulumuddin
Agak menghairankan apabila masih wujud sekelompok manusia yg mempertikaikan kehebatan kitab Ihya’ Ulumiddin. Mereka juga telah menghentam peribadi agung yg pernah mendapat gelaran Hujjatul Islam. Tuduhan sesat yg dilontarkan kepada kitab Ihya’ tidak pelik jika ia berlaku pada zaman dahulu ketika mana kitab Ihya’ sedang mengalami saringan. Akan tetapi tuduhan ini kembali diulangi pada zaman sekarang walaupun setelah kitab Ihya’ telah menerima perakuan dan pengiktirafan daripada ulama. Hebat dan peliknya mereka ini! Isu ini telah dijawab oleh banyak pihak sejak lama, tapi saya tetap mahu menulis tentangnya. Saya tak mahu menghalang diri saya daripada berkhidmat kepada tokoh ini. Mudah-mudahan Allah melihatnya sebagai amal ibadat, aminnn.

Kehebatan dan keunggulan kitab Ihya’ Ulumiddin telah menyebabkan para ulama melakukan usaha-usaha membersihkannya dari keaiban lalu menerimanya. Mereka menyelami isi kandungannya, mengkritiknya, membongkar kesalahan-kesalahannya lalu menyanjungnya. Seolah-olah untuk mendapat kedudukan yg tinggi sebagaimana pada hari ini, kitab Ihya’ perlu melalui beberapa proses saringan. Maka, kini kita menyaksikan kitab Ihya’ telah menerima pengiktirafan hebat daripada masyarakat ulama dan masyarakat awam. Sebelum menjawab kritikan daripada ‘ulama’ zaman sekarang, saya ingin menulis terlebih dahulu kritikan dan komen para ulama silam secara ringkas terhadap kitab yg amat berharga ini.

:: Kritikan terhadap kitab Ihya’

Imam Ibnul Jauzi (wafat 597H) di dalam kitabnya, Al-Muntazim telah mengkritik kitab Ihya’ kerana mengandungi banyak hadith-hadith maudu’. Beliau telah mengumpulkan kesalahan-kesalahan dalam kitab Ihya’ di dalam kitabnya yg dinamakan, I’lam Al-Ahya’ bi Agholitil Ihya’. Beliau juga menulis sebahagian kritikannya di dalam kitab Talbis Iblis. Bahkan terdapat ulama di Maghribi yg menyuruh supaya membakar kitab ini.

Imam Ibnu Kathir (wafat 774H) pula menyebut tentang kitab Ihya’ di dalam kitabnya, Al-Bidayah wa An-Nihayah, ” Dan beliau (Imam Ghazali) telah mengarang dalam tempoh ini kitabnya, Al-Ihya’. Ia adalah kitab yg mengagumkan yg mengandungi ilmu-ilmu syar’iyyat yg banyak, yg dicampur dengan perkara-perkara yg halus daripada Tasauf dan perbuatan-perbuatan hati. Akan tetapi padanya hadith-hadith yg gharib, munkar dan maudu’. ”

Cukuplah dengan kritikan-kritikan di atas untuk membuktikan Kitab Ihya’ pernah mengalami peringkat-peringkat tertentu dalam usahanya untuk naik ke peringkat yg lebih tinggi. Kritikan demi kritikan yg diberikan tidak mampu untuk menjejaskan kedudukan Imam Ghazali dan peranan kitabnya, Ihya’ Ulumiddin dalam memandu ummah. Jasanya memang tidak dapat diingkari.

Jika kita teliti kritikan-kritikan ulama terhadap kitab Ihya’, kita akan mendapati kebanyakannya berlegar di sekitar kritik terhadap kewujudan hadith-hadith maudu’ di dalamnya. Ini mungkin disebabkan beliau bergantung kepada ingatannya sahaja, tanpa bertanya dan meneliti terhadap sanad-sanadnya dan sumber-sumbernya. Meriwayatkan hadith-hadith maudu’ memang satu kesalahan besar tetapi jika ianya dilakukan secara sengaja. Dan mustahil individu sehebat dan semulia Al-Ghazali sengaja berdusta ke atas kekasihnya, Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam. Sesiapa yg menuduh ianya disengajakan maka bersiaplah untuk berdebat dengan Al-Ghazali di mahkamah Agung di hadapan Tuhan Yang Maha Agung.

Bahkan bukti Imam Ghazali tidak sengaja meletakkan hadith-hadith maudu’ di dalam kitab Ihya’ ialah tulisannya di dalam kitab Ihya’ sendiri. Bukti bertulis ini terdapat di dalam Kitab Aafat Al-Lisan, bahagian yg membicarakan keburukan lidah. Beliau menyatakan, “Dan mereka menyangka bahawa harus membuat hadith-hadith palsu untuk tujuan fadhail ‘amal dan menegah melakukan maksiat-maksiat. Dan mereka mendakwa tujuan itu betul sedangkan ianya jelas salah.” Lalu beliau berdalil dengan sebuah hadith mutawatir, “Sesiapa yg berdusta ke atasku dengan sengaja maka sediakanlah tempat duduknya daripada neraka.”

:: Takhrij Hadith Ihya’

Antara individu yg paling berjasa kepada Imam Ghazali ialah Al-Hafiz Zainuddin Al-‘Iraqi (wafat 806H). Ulama besar hadith ini telah bertindak mentakhrijkan keseluruhan hadith di dalam kitab Ihya’. Beliau menyatakan status hadith yg telah memudahkan untuk mengetahui hadith yg sohih, hasan dan maudu’. Pembelaan cara ini boleh dianggap sebagai pembelaan paling hebat dan ulung terhadap kitab Ihya’. Sehingga tidak salah jika dikatakan bahawa setiap cetakan kitab Ihya’ pada hari ini pasti disertakan sekali takhrij Al-‘Iraqi iaitu ‘Al-Mughni ‘an Hamlil Asfar fi Takhrij Ma fil Ihya’ min Akhbar.

:: Imam Ghazali membela diri

Jika kita kembali ke zaman Imam Ghazali, kita akan mendapati satu kelompok yg sudah menjadi tabiat mereka untuk mengkritik. Mereka membongkarkan keburukan dan menyembunyikan kebaikan. Mereka menyerang bertubi-tubi kandungan kitab Ihya’. Maka, tugas Imam Ghazali pula membalas kritikan tersebut melalui kitabnya, Kitab Al-Imla’ fi Ishkalatil Ihya’ atau nama lainnya, Al-Ajwibah Al-Muskitah ‘an Al-As ilah Al-Mubhitah’.

Di dalam mukaddimahnya, Imam Ghazali menyatakan sikap mereka yg melarang orang ramai daripada membacanya, berfatwa mengikut hawa nafsu… Seterusnya, Imam Ghazali mengugut mereka dengan hukum Allah. Kepada Allah beliau serahkan kesudahan mereka. Segalanya akan dibentangkan dan dihisab. Mereka akan dipersoalkan. Dan orang-orang yg zalim akan akan mengetahui di manakah kesudahan mereka… Kemudian, beliau memulakan penulisan membalas kembali serangan yg telah dimulakan.

Masalah kitab Ihya’ dengan hadith-hadith maudu’ juga telah selesai. Yang maudu’ telah jelas maudu’ nya. Tiada lagi yg perlu dibimbangi. Al-Hafiz Al-‘Iraqi memang berjasa besar terhadap Imam Ghazali. Yang menariknya, Imam Ghazali akhirnya telah mempelajari Sohih Bukhari dan Muslim daripada seorang Muhaddith tersohor waktu itu, Al-Hafiz Umar bin Abul Hasan Al-Ruasi, malah mendapat ijazah daripadanya. Kitab Ihya’ terus bertahan. Jangan buat-buat tak tahu bahawa kitab Ihya’ telah menerima penerimaan yg membanggakan di kalangan ulama.

:: Kritikan ‘ulama’ sekarang

Walaubagaimanapun, kritikan ‘ulama’ sekarang berlegar sekitar akidah pula. Kononnya kitab Ihya’ bersalahan dengan akidah salaf kerana Imam Ghazali menggunakan kaedah takwil dalam bermuamalah dengan ayat mutasyabihat. Kerana Imam Ghazali seorang ulama bermazhab Asyairah. Kerana Imam Ghazali begitu dan begini. Mereka juga menghukum sufi secara pukul rata.

Tahukah mereka kaedah sebenar Asyairah apabila berhadapan dengan ayat mutasyabihat? Dua kaedah. Kaedah utama: Tafwidh. Kaedah kedua pula digunakan apabila berhajat iaitu ketika akal umat Islam telah dicemari falsafah sesat, jauh dari pemikiran salaf yg sebenar iaitu kaedah Takwil. Bukan semata-mata Takwil. Jangan terlalu gopoh.

Jangan buat-buat tak tahu sejarah. Ahlus Sunnah sebenar ialah Asyairah, Maturidiah dan Fudhola’ Hanabilah. Menghentam Imam Ghazali kerana beliau bermazhab Asyairah bereerti menghentam Imam Nawawi, Ibnu Hajar Al-Asqolani bahkan jumhur ummah! Dan memang itu yg sedang berlaku. Hampir keseluruhan ulama mazhab empat bermazhab Asyairah dan Maturidiah. Hanya sebahagian yg teramat kecil yg menyeleweng. Tuduhan mengatakan Asyairah bukan daripada Ahlus Sunnah bermakna menghukum sesat ke atas ummah. Rasulullah bersabda, “Ummatku tidak akan berhimpun di atas kesesatan.” Selagi mana mereka tidak mengiktiraf mazhab Asyairah sebagai Ahlus Sunnah yg sebenar, selagi itulah mereka akan menyerang.

Topik berundur ke belakang kembali. Isu akidah saya tak mahu panjangkan. Jika neraca mereka untuk mengukur kebenaran akidah seseorang masih dengan pegangan yg lama, iaitu menganggap mazhab Asyairah sebagai bukan Ahlus Sunnah, maka bukan Imam Ghazali sahaja yg terkena bahkan jumhur ummah. Jadi mudah sahaja untuk mengenali individu-individu yg ditolak mereka. Kiaskan sahaja kaedah ini kepada mana-mana individu.

Rasa sayang pula jika tidak menulis yg ini. Haji Khalifah, [1] alim besar Istanbul ada menyebut, ketika kitab Ihya’ memasuki Maghribi, terdapat sebahagian ulama Maghribi yg mengingkarinya, lalu mengarang kitab mengkritiknya iaitu, Al-Imla’ fi Ar-Roddi ‘alal Ihya’. Sehinggalah pengarang tersebut melihat kehebatan Imam Ghazali dan ketulusan niatnya. Maka pengarang itu bertaubat dan menarik semula penulisannya terhadap kitab Ihya’.

:: Takhrij hadith oleh Al-‘Iraqi

Haji Khalifah juga menyebut bahawa Al-Hafiz Al-‘Iraqi sebenarnya menulis dua buah kitab untuk takhrih hadith-hadith di dalam kitab Ihya’. Yang pertama, kitab yg besar yg beliau karang pada 751 H. Tapi beliau tidak menyiapkannya. Pada tahun 760H, beliau karang kitab kedua yg lebih kecil iaitu Al-Mughni ‘an Hamlil Asfar yg akhirnya tersebar ke serata dunia bersama-sama kitab Ihya’. Apa yg mendorong Al-‘Iraqi bersungguh berkhidmat kepada kitab Ihya’? Saya fikir, ini kerana beliau melihat kehebatan kitab Ihya’ yg akan melata ke seluruh dunia satu ketika nanti. Maka, beliau akan berbangga di hadapan Allah kerana membersihkan kitab Ihya’ yg yg menjadi pedoman ulama zaman berzaman.

Lalu murid beliau, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani (wafat 852H) yg telah bertalaqqqi dengannya selama 10 tahun telah menyempurnakan apa yg terluput daripada karangan gurunya dalam satu jilid kitab. Imam Zainuddin Al-Qosim bin Qutlubugho Al-Hanafi (wafat 879H) pula telah mengarang kitab Tuhfatul Ahya’ fi ma Fata min Takhariji Ahadith Al-Ihya’ bagi menyempurnakan lagi takhrij terhadap hadith-hadith di dalam kitab Ihya’. Para ulama seolah-olah ghairah untuk melibatkan diri mereka dalam ‘pembikinan’ kitab Ihya’ yg berharga ini.

:: Pujian para ulama terhadap kitab Ihya’

Imam Nawawi berkata, “Jika kitab-kitab Islam hilang (nauzubillah) dan yg kekal hanya Ihya’, sesungguhnya ia akan menampung apa yg hilang.”

Imam Abdullah Al-‘Idrus berkata, “Aku duduk bertahun-tahun menelaah kitab Ihya’ , setiap fasal dan huruf daripadanya. Dan aku ulanginya dan menghayatinya. Maka zahir kepadaku daripada perbuatan itu akan ilmu-ilmu, rahsia-rahsia dan kefahaman-kefahaman yg melimpah pada setiap hari berbeza dengan apa yg aku dapat pada hari sebelumnya.”

Beliau juga mengatakan Imam Ghazali telah mensyarahkan manhaj Al-Quran dan As-Sunnah dalam kitabnya yg hebat yg digelar, أعجوبة الزمان (Keajaiban Zaman) Ihya’Ulumiddin.

Anak beliau pula, Syeikh Abdul Qadir Al-‘Idrus, pengarang kitab Takrif Al-Ahya’ bi Fadhlil Ihya’ memuji Imam Ghazali dan karyanya Ihya’ dengan pujian yg amat baik.

Imam Muhammad bin Yahya berkata, “Al-Ghazali ialah Syafie yg kedua.”

ISMAIL BIN MUHAMMAD AL HADRAMI adalah seorang ulama shalih bermadzhab As Syafi’i. Ulama Yaman ini memiliki beberapa karya baik dalam bidang fiqih seperti Mukhtashar Al Muhadzdzab juga dalam bidang hadits semisal Mukhtasar Shahih Muslim serta kumpulan fatwa.

Ulama yang pernah menjabat sebagai qadhi ini juga menjadi rujukan dalam fatwa. Hingga suatu saat datang Ismail bin Muhammad pertanyaan “bolehkah membaca buku-buku karya Al Ghazali?”

Syeikh Ismail bin Muhammad pun menjawab,”Innalillahi wa inna ilahi raji’un…Muhammad bin Abdillah adalah sayyid para nabi, Muhammad bin Idris (Imam As Syafi’i) adalah sayyid para imam, Muhammad bin Muhammad (Al Ghazali) adalah sayyid mushannifin ( para penulis kitab)”. (Al Kawakib Ad Durriyah, 2/393)

:: Penyalinan, Syarah dan Talkhis kepada kitab Ihya’

Penyalinan, Syarah dan talkhis para ulama terhadap kitab Ihya’ juga dianggap satu pembelaan secara tidak langsung kepada kitab Ihya’. Juga dianggap satu pujian yg lebih bermakna berbanding pujian biasa. Ini jelas menunjukkan kehebatan kitab Ihya’. Orang yg mengkritiknya setelah proses-proses saringan yg dialaminya merupakan orang yg tidak tahu menilai.

:: Penyalinan kitab Ihya’

Kitab Ihya’ dianggap kitab yg paling hebat yg merangkumkan pelbagai jenis ilmu. Penyalinan kitab Ihya’ secara tulisan tangan sebagaimana yg disebut oleh Doktor Badawi, pengarang kitab Muallafat Al-Ghazali(Karya-karya Al-Ghazali) ialah hampir 120 salinan (makhtutot) yg terdapat di perpustakaan-perpustakaan dunia seperti di Darul Kutub Al-Misriyyah, Al-Azhar, Paris, Istanbul, Algeria, Tehran dan banyak lagi. Dan telah dicetak dengan banyaknya di Kaherah, Tehran dan Istanbul.

:: Kitab yg mensyarah kitab Ihya’

Ithaf Sadat Al-Muttaqin bi Syarhi Asrar Ihya’ Ulumiddin karangan Imam As-Sayyid Al-Murtadha Az-Zabidi. Kitab yg amat besar.
Takrif Al-Ahya’ bi Fadhlil Ihya’ karangan Syeikh Abdul Qadir Al-‘Idrus. Biasanya dicetak bersama kitab Ihya’.

Tashyid Al-Arkan fi Laisa fil Imkan Abda’ mimma Kan karangan Imam Jalaluddin As-Suyuti. Kitab ini masih belum dicetak dan masih kekal sebagai makhtutoh(tulisan tangan)

:: Talkhis (Ringkasan) kitab Ihya’

Terdapat 26 buah kitab Talkhis terhadap Ihya’ dalam bahasa Arab sehingga tahun 1988. Sehingga sekarang saya tak tahu jika ada usaha yg dilakukan untuk mentalkhiskan kitab Ihya’.

Sebahagian Talkhis ini masih kekal sebagai makhtutot di perpustakaan-perpustakaan dunia seperti di Kaherah, Berlin, Peshawar, Tunisia, Tehran, Istanbul, Az-Zahiriah di Damsyik, Paris, Iraq dan lain-lain.

Antara Talkhis-talkhis kitab Ihya’:

Lubab Ihya’ Ulumiddin. Talkhis paling awal yg dilakukan sendiri oleh saudara kandung Imam Ghazali, Imam Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali. (wafat 521H)
Minhajul Qosidin karangan Imam Ibnul Jauzi. Ditulis pada akhir kurun ke-6 Hijrah. Ini jelas menunjukkan kritikan Ibnul Jauzi terhadap Ihya’ dalam kitab-kitab beliau semata untuk memberikan mutu yg sebenar kepada Ihya’.
Mukhtasar Ulumiddin. Karangan Abu Abdillah Syamsuddin Muhammad bin Jaafar yg dikenali dengan Al-Bilali. Beliau juga ada mengarang kitab lain iaitu, Mukhtasar Al-Ihya’.

:: Penterjemahan kitab Ihya’ ke dalam bahasa lain

Kehebatan dan kepentingan kitab ini telah memaksa berlakunya usaha penterjemahannya ke dalam bahasa lain. Ihya’ telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Jerman, Bahasa Parsi, Bahasa Sepanyol, Bahasa Urdu dan Bahasa Turki. Menurut kawan saya, Ihya’ juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu Indonesia.

Yang menariknya, kitab Ihya’ tidak pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Hebrew (Bahasa Yahudi) sedangkan kitab-kitab Imam Ghazali yg lain ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Hebrew.

Sehingga sekarang, Masjid Al-Azhar menghidangkan pengajian kitab Ihya’ Ulumiddin pada setiap hari Ahad, selepas solat asar. Tenaga pengajar ialah guru yg dikasihi, Al-Allamah As-Syeikh Ahmad Al-Hajin, salah seorang murid kepada Mufti Negara Mesir sekarang, Al-Allamah As-Syeikh Ali Jum’ah.

جعله الله خالصا لوجهه الكريم ووسيلة إلى النعيم المقيم

Rujukan:

Ihya’ Ulumiddin

Taqrib At-Turath: Ihya’ Ulumiddin karangan Dr. Islah Abd Salam Ar-Rifaie

Maqalat Al-Kauthari karangan Imam Al-Kauthari

Terjemahan Minhajul Abidin oleh Hj Engku Ali bin Engku Endut

Tulisan Haji Khalifah di ghazali.org

al-Ghazali website

Nota kaki:

[1] Nama sebenar beliau ialah Al-Allamah Mustafa bin Abdillah Al-Istanbuli. Dikenali di kalangan ulama dengan gelaran Katib Jalabi. Di kalangan rakan-rakan penulis kitab, dikenali dengan nama Haji Khalifah. Digelar begitu setelah beliau menunaikan haji dan naik pangkat yg lebih tinggi dalam jawatan berkaitan penulisan kitab iaitu Khalifah mengikut istilah masyarakat Uthmani. Dikenali dengan nama Haji Qolifah di kalangan orientalis. Ulama Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada kurun ke-11 Hijrah.

Pengarang kitab ulung, Kashfu Az-Zunun ‘ala Asamil Kutub wal Funun. Kitab yg menghimpun maklumat tentang kitab-kitab Ilmu Islam. Dua jilid besar kitab ini membicarakan tentang lebih kurang 300 jenis ilmu dan seni. Mengandungi maklumat tentang 14501 nama kitab dan risalah, 9512 nama pengarang.

Source: Ust. Ahmad Fami C Noordin & hidayatullah.com

 

 

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s