IMAM AL-SYAFI’I DAN HADITS

Posted: Juli 27, 2016 in SUNNAH - ADAB & NASIHAT, TAFSIR & QOUL ULAMA
Tag:, ,

Kepada Siapa Pelarangan Taqlid oleh Imam Syafi'i dan Imam Ahmad

Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204 H) terkenal sebagai seorang ahli fiqih terkemuka sekaligus sebagai seorang pendiri salah satu mazhab fiqh yang diakui dunia Islam. Tokoh mujtahid ini sangat aktif menekankan kedudukan hadis sebagai sumber hukum selepas al-Quran. Bagaimanapun, sedikit yang mengetahui bahwa Imam al-Syafi’i juga adalah pakar hadis yang sangat mahir dalam menilai sanad dan matan hadis. Ketokohan beliau dalam ilmu hadis belum mendapat sorotan yang sewajarnya.

Justeru kertas kerja ini akan mengulas ketokohan Imam al-Syafi’i dalam hadis secara ringkas.

A. Imam Syafii Perawi Thiqah

Perkara pertama yang mesti kita ketahui ialah Imam al-Syafii seorang tokoh perawi hadis yang thiqah.[2] Kredibiliti beliau dalam dunia riwayat diakui oleh jumhur ulama jarh wa ta’dil seperti Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah, Muslim bin Hajjaj, Ibn Khuzaimah, al-Nasa’ie, Abu Dawud, Ibrahim al-Harbi, al-Khatib al-Baghdadi dan ramai lagi.

Bukan hanya itu, sebahagian ahli hadis turut menilai beliau tidak pernah silap dalam meriwayatkan hadis. Abu Dawud dan Abu Zur’ah Al-Razi sepakat berkata: “Tiada hadis riwayat al-Syafi’i yang silap.”[3] Imam Muslim, Ibn Abi Hatim, Ibn ‘Adi, Ibn Hibban dan Al-Sakhawi bahkan menempatkan al-Syafi’i dalam senarai tokoh hadis yang ucapannya menjadi rujukan menilai hadis dan perawi.[4]

Tidak dinafikan terdapat penilaian berbeza tentang Al-Syafi’i. Yahya bin Ma’in diriwayatkan pernah menilai beliau tidak thiqah. Akan tetapi kesahihan riwayat ini diragukan oleh ramai ahli hadis.

Al-Hakim berkata: “Saya telah menelusuri semua riwayat namun tidak menemukan bahawa Yahya terbukti mencela Al-Syafi’i. Kemungkinan cerita tersebut adalah kebohongan yang dinisbahkan kepada Yahya bin Ma’in.”

Al-Baihaqi berkata: “Seperti ulama yang lain, Yahya menyimpan iri hati kepada Al-Syafi’i. Namun begitu beliau tetap menjaga kata-katanya.” Al-Baihaqi kemudian meriwayatkan dengan sanad sahih dari Yahya bahawa beliau berkata: “(Al-Syafi’i ) sangat jujur, tak ada masalah dengannya (saduq, laisa bihi ba’s).”[5]

Jika ketokohan Imam Al-Syafi’i dalam riwayah seperti yang disebutkan, mengapa al-Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkan hadis daripada beliau dalam kedua-dua kitab Sahih mereka? Sesetengah orang yang tidak menguasai ilmu hadis dan fakta riwayah menjadikan perkara ini untuk melemahkan al-Syafi’i.[6]

Al-Baihaqi membantah kesalahpahaman ini dan menjelaskan bahawa sebab keengganan mereka meriwayatkan hadis daripada al-Syafi’i ialah kerana menjaga tradisi ahli hadis dalam ketinggian sanad.

al-Baihaqi berkata: “…kedua-duanya (Bukhari dan Muslim) tidak berjumpa dengan al-Syafi’i, namun berjumpa dengan murid-murid daripada guru-guru al-Syafi’i.[7] Kedua-duanya mencatat semua hadis yang dimiliki al-Syafi’i. Pada masa yang sama, al-Syafi’i tidak memiliki hadis yang tidak dimiliki orang lain sehingga memaksan kedua-duanya turun (nuzul) untuk meriwayatkan hadis itu menerusi seseorang daripada al-Syafi’i. Siapa yang mengetahui metode ahli hadis pasti memahami perkara ini.”[8]

Penjelasan Al-Baihaqi ini dikuatkan oleh kepribadian Al-Syafi’i yang memang tidak mementingkan ketinggian sanad. Perhatian beliau lebih terfokus kepada kualiti hadis dan aspek istinbat hadis tersebut. Setiapkali menjumpai hadis sahih, beliau terus menerimanya tanpa mementingkan tinggi atau rendah sanadnya. Ibn Hajar berkata, “Beliau berusaha memperbanyak hadis, bukan memperbanyak syeikh seperti kebiasaan para ahli hadis.”

Seperti kebanyakan ulama pada masanya, Imam Al-Syafi’i juga melakukan perjalanan (rihlah) ke berbagai pusat-pusat keilmuan yang tersebar di seluruh penjuru dunia Islam untuk menimba ilmu dari tokoh-tokohnya dan mendengarkan hadis secara langsung.[9] Setelah menguasai hadis ahli Hijaz di Mekah dan Madinah, al-Syafi’i mengumpulkan hadis di Yaman, Irak dan Mesir.[10] Di kota-kota ini Al-Syafi’i berjumpa dengan ramai tokoh hadis terkemuka seperti Sufyan bin ‘Uyainah, Malik bin Anas, Waki’ bin al-Jarrah, Hammad bin Usamah, Ismail bin ‘Ulayyah, Hisyam bin Yusuf, Mutharif bin Mazin, Yahya bin Hassan Al-Tinnisi dan ramai lagi.

Dalam kembara ini, al-Syafii mengumpulkan sebahagian besar, jika tidak semua, hadis hukum yang menjadi asas mazhab beliau. Justeru, tidak hairan apabila Ibn Khuzaimah ditanya, “Adakah Sunnah shahih dari Nabi Saw yang tidak dicantumkan Al-Syafi’i di dalam kitabnya?” ahli hadis ini menjawab: “Tidak ada.”[11]

B. Al-Syafi’i dan Kritik Sanad Hadis

Al-Syafii sangat mahir dalam kajian sanad hadis untuk memilah hadis-hadis yang sahih daripada yang lemah. Beliau bahkan menulis kaidah-kaidah penerimaan riwayat dalam kitabnya Al-Risalah. Al-Syafii menjelaskan bahawa hadis sahih wajib memenuhi lima syarat, iaitu perawi yang terpercaya keagamaannya, terkenal jujur, memahami dan menghafal hadisnya, juga tidak mudallis, ditambah lagi sanadnya mesti bersambung hingga ke akhirnya. [12]

Menurut guru kami, Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr, ucapan Al-Syafi’i ini adalah takrif hadis sahih pertama dan tertua yang sampai kepada kita.

Sebuah Hadis yang tidak memenuhi salah satu daripada kelima syarat ini dinilai lemah. Sebab-sebab kelemahan hadis sangat banyak antaranya perawinya memiliki hafalan yang lemah, sanad terputus, sanad tersebut syaz dan lain sebagainya. Semua perkara ini dapat dijumpai dalam analisis dan metode kritik hadis Imam al-Syafi’i sebagaimana berikut ini.

B. 1. Menilai Perawi

Menilai status perawi memerlukan ketelitian dalam mengkaji semua hadis yang beliau riwayatkan. Al-Syafii diiktiraf memiliki kepakaran tersebut. Beliau sangat aktif menilai memisahkan antara perawi thiqah daripada yang lemah. Antara perawi hadis yang beliau lemahkan ialah Mujalid bin Said al-Hamdani, Laits bin Abi Sulaim dan ramai lagi.[13]

Seorang ulama Irak berhujah dengan riwayat al-Jild bin Ayyub dari Mu’awiyah bin Qurrah dari Anas bin Malik: “Haid perempuan tiga atau empat (hari) hingga sepuluh (hari).”[14] Al-Syafii melemahkan hadis ini dan berkata: “Kami dan kamu tidak mensahihkan hadis seseorang seperti Al-Jild.”[15]

Imam al-Syafi’i turut mencela para perawi yang pernah berdusta dalam hadis. Beliau berkata: “Meriwayatkan daripada Haram bin Utsman haram.”[16] Beliau juga berkata: “Siapa yang meriwayatkan hadis dari Abu Jabir Al-Bayadhi, semoga Allah memutihkan matanya.”[17] Kata beliau lagi: “Kathir bin ‘Abdillah Al-Muzani seorang rukun kedustaan.”[18]
Semua ini membuktikan kepakaran Imam al-Syafi’i dalam menilai perawi hadis.

B.2. Mengenal pasti Sanad Terputus

Al-Syafii menyebut sanad yang terputus dengan istilah mursal. Keterputusan merupakan salah satu cacat yang menjejaskan kesahihan hadis. Perkara ini berlaku apabila seorang perawi yang terdapat di dalam sanad tidak berjumpa dengan perawi yang berada di atasnya. Kepakaran al-Syafii kembali menyerlah dalam mengidentifikasi keterputusan sanad yang memerlukan kemahiran ilmu hadis dan tarikh yang tinggi.

Apabila menilai riwayat al-Sya’bi dan Raja bin Haiwah daripada ‘Umar bin Al-Khathab, Al-Syafii berkata: “Kedua-duanya tidak mendapati masa ‘Umar, bahkan tidak mendekatinya.”[19] Beliau juga berkata: “Makhul tidak berjumpa dengan Zaid bin Tsabit.”[20]

Selain itu, Al-Syafii turut menilai mursal setiap riwayat yang terjadi antara dua orang yang hidup semasa namun tidak terbukti pernah berjumpa. Meskipun keduanya hidup dalam semasa (muasarah), namun Al-Syafii menilai riwayatnya terputus. Al-Syafi’i berkata, “Hadis Sulaiman bin Yasar dari Al-Miqdad bin Al-Aswad mursal. Kami tidak mengetahui bahwa beliau pernah mendengar daripadanya.”[21] Metode yang beliau amalkan ini lebih ketat berbanding kebanyakan ahli hadis hari ini.

B.3. Menyingkap ‘illah Hadis

Illah ialah cacat yang tersembunyi di dalam hadis. Menyingkap ‘illat hanya dapat dilakukan oleh sedikit ahli hadis yang benar-benar pakar sahaja. Justeru hanya sedikit ahli hadis yang berkelayakan berbincang tentang perkara ini. Orang tersebut mestilah ahli hadis yang banyak menghafal hadis (hafiz), pakar dalam ilmu rijal, cerdas dan teliti.[22]

Imam al-Syafii salah seorang yang diiktiraf dalam bidang ini. Takrif beliau tentang hadis syaz menjadi ikutan ahli hadis hingga hari ini.
Berkata Al-Syafii: “Hadis syadz bukan hadis yang diriwayatkan seorang tsiqat tanpa didukung oleh orang lain. Namun hadis syadz adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sekelompok orang-orang tsiqat, lalu salah satu dari mereka menyimpang dan meriwayatkan sesuatu yang bertentangan dengan riwayat mereka.”[23]

C. Al-Syafi’i dan Kajian Matan Hadis

Hadis menempati kedudukan yang sangat penting dalam ijtihad Imam al-Syafii. Beliau melihat hadis sebagai penjelas Al-Qur’an sekaligus memiliki kekuatan hukum yang berdiri sendiri.

Apabila menjelaskan sumber-sumber rujukan dalam hukum Islam, al-Syafii berkata: “Ilmu (sumber hukum) terdiri dari beberapa tingkatan. Pertama: Al-Kitab dan Sunnah, jika sahih Sunnah tersebut. Lalu kedua: ijmak para perkara yang tidak terkandung dalam Al-Kitab dan Sunnah. Dan ketiga: ucapan para sahabat Nabi Saw jika tidak diketahui pendapat lain yang menyalahinya. Keempat: ikhtilaf sahabat-sahabat Nabi. Dan kelima: qiyas di atas sebahagian daripada tingkatan-tingkatan ini. Tidak boleh berpindah kepada selain Al-Kitab dan Sunnah selagi keduanya masih ada. Sebab ilmu (dalil) mesti diambil dari atas.”[24]

Dalam berinteraksi dengan hadis, Imam Al-Syafii telah menggariskan beberapa panduan.

Pertama, hadis wajib diamalkan sebagai perwujudan sikap taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau berkata: “Prinsip yang kami pegang: setiap (hadis) yang sahih berasal dari Nabi Saw maka itu merupakan hujah yang mengikat semua makhluk. Mereka berkewajiban mengikuti (hadis) itu.”

Berkenaan hadis lemah, beliau menegaskan: “Jika sebuah hadis majhul (tidak diketahui siapa perawinya), atau perawinya tidak disukai (kepribadian atau hafalannya), maka seolah-olah hadis itu tidak pernah ada, sebab ia tidak thabit (sahih).”[25]

Hadis lemah dalam mazhab Syafi’i bukan hujah melainkan apabila kandungan maknanya disokong oleh dalil-dalil lain. Perkara ini dijelaskan oleh al-Syafii apabila beliau berbincang tentang mursal tabiin besar yang menurutnya boleh menjadi hujah apabila kandungannya disokong oleh hadith musnad, atau mursal lain, atau fatwa kebanyakan ulama.[26]

Kedua, hadis sahih lebih kuat berbanding qiyas, amal ahli Madinah ataupun fatwa sahabat. Menurut al-Syafi’i, semua dalil tersebut wajib ditinggalkan apabila bertentangan dengan hadis Nabi.

Al-Syafi’i menegaskan: “Jika sebuah hadis sahih diriwayatkan dari Nabi tanpa diketemukan hadis lain yang bertentangan dengannya; maka jika ada riwayat dari selain Nabi yang menyokongnya, hadis ini tidak bertambah kuat sebab hadis berdiri sendiri. Dan jika ada riwayat dari (sahabat atau tabi’in) yang bertentangan dengannya, aku tidak berpaling kepada riwayat itu. Hadis Nabi Saw lebih utama untuk diikuti. Andai mereka mengetahui bahwa pendapatnya bertentangan dengan hadis Nabi Saw, mereka pasti tunduk kepada hadis, insya Allah.”[27]

Ketiga, sebuah hadis sedapat mungkin mesti diamalkan sepertimana makna zahirnya. Imam al-Syafi’i berkata: “Hadis daripada Rasulullah mesti difahami mengikut makna umum dan makna zahirnya melainkan apabila terdapat dalil daripada Rasulullah bahawa baginda menghendaki makna khas bukan ‘am; ataupun pandangan ahli ilmu atau tokoh perawi yang mendengarnya daripada Nabi menjelaskan bahawa baginda menghendaki makna khas bukan ‘am.”[28]

Imam al-Syafi’i turut menjelaskan bahawa kalimat larangan bermakna haram dilakukan, dan kalimat perintah bermakna harus (ibahah) dan patut dilakukan.[29]

Keempat, hadis sahih tidak akan bertentangan dengan hadis sahih. Apabila dijumpai pertembungan antara dua hadis sahih, maka “pertentangan tersebut mestilah karena dua sebab. Pertama: salah satunya nasikh, yang lain mansukh. Maka diamalkan yang nasikh dan ditinggalkan yang mansukh. Kedua: jika tidak diketahui adanya nasikh dan mansukh, maka kita tidak boleh mengambil salah satunya melainkan terdapat dalil yang menunjukkan kuatnya pilihan tersebut. Misalnya, salah satu dari hadis itu lebih sahih daripada yang lain, maka diamalkan yang lebih kuat. Atau salah satunya lebih dekat kepada makna Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah, atau lebih dikenal oleh para ulama, atau lebih sahih secara qiyas, atau lebih bersesuaian dengan pendapat kebanyakan sahabat Nabi.”[30]

Kelima, jika terdapat ijtihad Imam al-Syafii yang bertentangan dengan hadis sahih yang beliau tidak ketahui, maka hadis itu mesti diamalkan dan pandangan beliau mesti ditinggalkan.

Perkara ini beliau tegaskan dalam kata-kata beliau yang sangat masyhur: “Jika telah terbukti sahih sebuah hadis, maka ia adalah mazhabku.”[31]

Bagaimanapun, tugasan ini tidak boleh gopoh dilakukan oleh sebarang orang. Bahkan tidak semua ahli hadis atau ahli fiqh dapat melakukan perkara ini.
Ibn al-Salah berkata: “Tugasan ini tidak mudah. Tidak semua faqih boleh mengamalkan hadis yang dinilainya sebagai hujah.”[32] Diperlukan penelitian serius dan kehati-hatian tinggi sebelum memutuskan bahwa sebuah pendapat Al-Syafi’i benar-benar bertentangan dengan hadis, lalu meninggalkan pendapat itu dan mengamalkan hadis.

D. PENUTUP

Kertas kerja ini terlalu kerdil untuk menghuraikan semua aspek yang membuktikan kepakaran Imam al-Syafii dalam hadis. Objektif tersebut tidak dapat dicapai melainkan dengan sebuah kajian komprehensif yang tidak dapat saya lakukan dalam kesempatan yang terhad ini. Cukuplah kelebihan Imam al-Syafii dalam hadis menjadi buah pengiktirafan ramai ahli hadis di zaman beliau hingga hari ini.

Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Ahli hadis tidak mengetahui makna-makna hadis Nabi hingga datang Al-Syafii dan menjelaskannya kepada mereka.”[33]
Seorang ulama moden dari Syria, Dr. Mustafa al-Siba’ie, turut berkata: “Setiap orang yang menulis tentang mustalah hadits, atau ahli usul yang membahas tentang al-Qur’an dan Sunnah, tidak dapat menafikan bahawa mereka berhutang kepada tulisan al-Syafi’i.”[34]

Semoga Allah meninggikan darjat Imam al-Syafi’i dan seluruh ulama daripada kalangan ahli fiqh dan ahli hadis, juga guru-guru dan ibubapa kita di syurga firdaus. Amin ya rabbal ‘alamin.
_______________________________________________
[1] Seorang pencinta ilmu hadis. [2] Thiqah dalam istilah ahli hadis ialah sifat yang melambangkan kualiti tertinggi yang terdapat dalam diri seorang perawi dan melayakkan beliau untuk diterima riwayatnya. Kualiti dirumuskan selepas dilakukan ujikelayakan yang sangat ketat dan meliputi aspek ‘adalah dan dabt. Aspek ‘adalah berkaitan dengan sifat-sifat peribadi perawi berkenaan seperti kejujuran, kesalehan dan lain sebagainya. Pada masa yang sama, aspek dabt berkaitan dengan hafalan dan system penulisan yang menjamin ketekalan hadis yang diriwayatkan. [3] Ahmad bin al-Husein al-Baihaqi (1986), Bayān Khaṭa’ man Akhṭa’a ‘ala al-Syāfi’ī. Beirut: Muassasah al-Risālah, h. 97. [4] Dalam buku beliau yang bertajuk al-intifa’ bi Julud is-Siba’, Imam Muslim berkata: “Ini adalah pendapat para pakar hadis yang patut menjadi panutan, salah seorangnya ialah al-Syafi’i…” Demikian sebagaimana dinukil al-Baihaqi (1986), ibid. h. 332. Ibn ‘Adi menempatkan Al-Syafi’i dalam senarai penjaga hadis Nabi pada tabaqat pasca tabi’ al-tabi’in. Lihat Abdullah bin ‘Adi (1988), al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, jilid 1. Beirut: Dar al-Fikr, h. 114-117. Lihat ucapan Abu Hatim Muhammad bin Hibban al-Busti (2000), Kitab al-Majruhin min al-Muhaddithin, jilid 1. Beirut Dar al-Saima’ie, h. 49. Lihat ucapan Muhamamad bin Abdurahman al-Sakhawi (t.t.), al-I’lan bi al-Taubikh liman dzam al-Tarikh. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 341. [5] Al-Baihaqi (1986), op. cit., h. 99-100. Ucapan Yahya ini juga diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi (1988), op. cit., h. 116. [6] Tuduhan ini sempat marak di abad kelima hijrah sehingga mendorong dua tokoh hadis mazhab Syafii menjawab kekeliruan ini iaitu al-Baihaqi dan al-Khatib al-Baghdadi. Jawapan al-Baihaqi dapat dijumpai pada bahagian akhir kitab “Bayan Khata’ man Akhtha’a ‘ala al-Syafii”. Al-Khatib Al-Baghdadi secara terang menyebut pihak penuduh itu berasal daripada kalangan mazhab hanafi, lalu membantah tuduhan ini dalam sebuah risalah khas bertajuk Mas’alah al-Ihtijaj bi al-Syafi’i. Al-Zahabi menukil poin-poin penting risalah ini dalam al-Zahabi (2008), Siar A’lam an-Nubala jilid 10. Beirut: Muassasah al-Risalah, h. 95-97. [7] Maksudnya, Bukhari dan Muslim berjumpa dengan orang-orang yang seangkatan dengan Al-Syafi’i yang meriwayatkan hadis dari guru-guru Al-Syafi’i. [8] Al-Baihaqi (1986), op. cit., h. 334. [9] Kembara mencari hadis adalah salah satu sunnah ahli hadis. Salah satu kitab yang membincangkan tradisi penting ini ialah buku yang ditulis oleh Al-Khatib Al-Baghdadi bertajuk “Rihlah fi Talab il-Hadis”. [10] Imam al-Ramahurmuzi hanya menyebutkan Madinah dan Irak dalam kembara hadis Imam al-Syafi’i. Lihat Hasan bin Abdurahman bin Khallad al-Ramahurmuzi (1971), Al-Muhadis Al-Fasil baina al-Rawi wa al-Wa’ie. Beirut: Dar al-Fikr, h. 231. Al-Hafiz Ibn Hajar hanya menyebutkan Mekah, Madinah, Irak, Mesir dan Yaman. Lihat al-’Asqalani (1986), Tawali at-Ta’sis fi Manaqib Muhammad bin Idris. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 72. Ibn ‘Asakir berkata bahwa Al-Syafi’i pernah melintasi negeri Syam, atau daerah pesisir Syam, apabila beliau berhijrah dari Irak ke Mesir. Lihat Ali bin al-Hasan bin Hibat Allah Ibn ‘Asakir (2000), Tarikh Madinah Dimasyq, jilid 51. Beirut: Dar al-Fikr, hal. 268. [11] Ibn Hajar (1986), op. cit. h. 72. [12] Muhammad bin Idris al-Syafi’i (t.t.), Al-Risalah. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 370-371. Lihat Ahmad bin Husein al-Baihaqi (1991), Ma’rifat Al-Sunan wa Al-Atsar. jilid 1. Beirut Dar Qutaybah, h. 132-133. [13] Al-Baihaqi (1971), Manaqib Al-Syafi’i, jilid 1. Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, h. 547. Penilaian lemah Laith bin Abi Sulaim disepakati oleh ramai ahli hadis antaranya Yahya Al-Qattan, Ibn ‘Uyainah, Ahmad bin Hanbal, Ibn Ma’in, al-Nasa’ie dan Ibn Hibban. Lihat al-Zahabi (1999), Mizan Al-I’tidal fi Naqd al-Rijal, jilid 3. Beirut: Dar al-Fikr, h. 407, Ibn Hajar al-’Asqalani (2001), Tahdzib Al-Tahdzib, jilid 3. Beirut: Muasasah al-Risalah, h. 484. Berkenaan Mujalid sila rujuk ucapan al-Syafii dalam al-Baihaqi (1971), op. cit., jilid 1, h. 543, Ibn Hibban (2000), op. cit., jilid 2, h. 343. Penilaian ini selari dengan pendapat imam-imam hadis seperti Syu’bah, Yahya Al-Qattan, Ibn Mahdi, Ibn Ma’in, Ahmad bin Hanbal, Abu Hatim, al-Bukhari, al-Nasa’ie, Ibn ‘Adi, Ibn Hibban dan Al-Daraqutni. Lihat al-Zahabi (1999), ibid. jilid 3, h. 425. [14] Hadis ini diriwayatkan oleh al-Darimi di “Sunan Al-Darimi” no. (834), (836) dan (839), al-Daraqutni dalam “Sunan Al-Daraqutni” no. (794), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan Al-Kubra, jilid 1, h. 322. [15] Al-Baihaqi (1991), op. cit., jilid 2, h. 168. Pendapat ini selari dengan penilaian ahli hadis lain seperti Hammad bin Zaid, Jarir bin Hazim, Ibn ‘Uyainah, Abu ‘Ashim Al-Nabil dan Ibn Mubarak. Beberapa ulama bahkan menilai al-Jild bin Ayub matruk seperti Syu’bah, Ibn Mahdi, Yahya Al-Qathan dan Mu’adz bin Muadz. Abu Hatim, Abu Zur’ah, Ibn ‘Adi, Ibn Hibban dan Al-’Uqaili menilainya sangat lemah. Lihat Abdurahman bin Abi Hatim al-Razi (t.t.), Al-Jarh wa Al-Ta’dil, jilid 2. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 548, Ibn Hibban (2000), op. cit., jilid 1, h. 248, Ibn ‘Adi (1988), op. cit., jilid 2, h. 176. [16] Abdurahman bin Abi Hatim al-Razi (2003), Adab Al-Syafi’i wa Manaqibuh. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, hal. 167, al-Baihaqi (1971), op. cit., jilid 1, h. 542. Lihat pendapat ahli hadis tentang Haram bin Utsman yang selari dengan pandangan al-Syafi’i dalam Al-Zahabi (1991), op. cit., jilid 1, h. 466. [17] Abdurahman bin Abi Hatim al-Razi (2003), op. cit., h. 167. Nama Abu Jabir al-Bayadhi ialah Muhammad bin ‘Abd Al-Rahman. Lihat penilaian ulama hadis tentang dirinya dalam al-Zahabi (1991), op. cit., jilid 3, h. 589. [18] Ibn Hibban (2000), op. cit., jilid 2, h. 226, al-Baihaqi (1971), op. cit., jilid 1, h. 547. Lihat penilaian ahli hadis terhadap Katsir bin ‘Abdillah Al-Muzani dalam al-Zahabi (1991), op. cit., jilid 3, h. 394. [19] Al-Baihaqi (1991), op. cit., jilid 13, h. 287. [20] Justeru hadis beliau tentang larangan mendirikan qisas di medan perang mursal. Lihat ucapan al-Syafi’i sebagaimana dinukil al-Baihaqi (1991), op. cit., jilid 13, h. 273. Sepakat dengan Al-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal berkata: “Makhul tidak mendengar apa-apa dari Zaid. (Hadis itu) beliau dengar daripada orang lain.” Abu Hatim berkata, “Aku bertanya kepada Abu Mushir –ahli hadis di Syam, kota tempat Makhul berasal-: apakah Makhul mendengar dari sahabat Nabi? Beliau menjawab: tidak ada yang sahih selain dari Anas bin Malik.” Lihat Abdurahman bin Abi Hatim al-Razi (1983), Kitab al-Marasil. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 165. [21] Muhammad bin Idris al-Syafi’i (2001), Kitab al-Um, jilid 1. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, h. 354. Al-Miqdad bin Al-Aswad disepakati wafat pada tahun 33 H. Sulaiman bin Yasar diperselisihkan tahun kelahirannya; apakah tahun 34 H atau 27 H. Kemungkinan beliau mendengar daripada Miqdad sangat nipis. [22] Lihat Abdurahman Al-Suyuti (2002), Tadrib al-Rawi, jilid 1. Kaherah: Dar al-Hadith, h. 251-252. [23] Abdurahman bin Abi Hatim (2003), op. cit., h. 178, al-Baihaqi (1983), op. cit., jilid 2, h. 30. [24] Al-Baihaqi (1991), op. cit., jilid 1, h. 184. [25] Muhammad bin Idris al-Syafi’i (1985), Ikhtilaf Al-Hadith. Beirut: Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, h. 65. [26] Muhammad bin Idris al-Syafi’i (t.t.), op. cit., h. 461-464. [27] Muhammad bin Idris al-Syafii (2002), op.cit., jilid 7, h. 307. [28] Al-Baihaqi (1991), op. cit., jilid 1, h. 175. [29] Ibid. jilid 1, h. 176. [30] Ibid. jilid 1, h. 181. [31] Nisbah ucapan ini mutawatir berasal daripada al-Syafii dan diriwayatkan dalam versi yang cukup beragam. Lihat Taqi al-Din Abu al-Hasan ‘ali b. Abd al-Kafi al-Subki (t.t.), Ma’na Qaul al-Muttalibi idha Sah al-Hadith fahuwa Madhhabi. Muassasah al-Qurtubah, h. 85-88. [32] Yahya bin Syaraf al-Nawawi (2001), Majmu’ Syarh Al-Muhadzab, jilid 1. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, h. 105. [33] Al-Baihaqi (1983), op. cit., jilid 1, h. 300. [34] Mustafa al-Siba’ie (2003), Al-Sunnah wa Makanatuha fi Al-Tasyri’ Al-Islami. Beirut: Dar al-Warraq, h. 479.

Source: Ust. Umar Muhammad Noor

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s